Bayi kalau tidak menangis memang sesuatu yang pelik. Tapi jika banyak
sangat menangis, tanpa henti pula, memang memeningkan kepala. Bersama
ini ada maklumat mengapa bayi menangis dan cara menanganinya.
Selepas sahaja dilahirkan, perkara pertama yang lazimnya dilakukan oleh
bayi ialah menangis. Sebabnya, kurang pasti. Mungkin terkejut dengan
perubahan sekeliling yang terlalu asing buat mereka atau mungkin juga
sebagai ucapan terima kasih kepada ibu yang sanggup mengendongnya selama
40 minggu dan seterusnya melahirkan. Apa pun alasannya, hanya dia dan
penciptanya yang tahu.
Kenapa bayi menangis
Sebenarnya, menangis merupakan cara bayi berkomunikasi dengan
orang-orang di sekelilingnya sebelum dia tahu bercakap. Bagi ibu bapa
baru, tangisan bayi dikatakan serupa sahaja. Akibatnya mereka rasa
keliru dan tidak tahu apa yang diingini oleh anak. Tapi lama kelamaan,
setelah berbulan-bulan bersama anak, tangisan tersebut mula dapat
dibezakan. Dan anda tentunya tidak lagi panik.
Untuk pengetahuan papa semua, kalau anak anda menangis, ada beberapa makna. Antaranya ialah:
- Sebab basah
- Sebab lapar
- Perlukan perhatian
- Rimas akibat terlalu banyak perhatian
- Sakit
- Penat
- Sudah terjaga daripada tidur
- Rasa tidak selesa
Apakah yang perlu papa lakukan?
Pakar pediatrik dan papa-papa berpengalaman ada beberapa panduan untuk anda agar tenang berhadapan dengan bayi yang menangis.
- Bertindak segera
Anda perlulah cepat memberikan tindak balas terhadap tangisan anak.
Jika anda dapati anak mula hendak menangis, angkat dia dan dukunglah
dengan penuh kasih sayang. Bercakaplah padanya dengan suara yang lembut.
Sebaiknya, jangan biarkan dia mula menangis kerana bimbang lambat
berhenti.
- Rapat
Jika anak sudah menangis, bawa bayi rapat ke muka anda sebab jika dia
buka matanya, dia akan nampak anda. Hasilnya, dia akan rasa tenang dan
seterusnya berhenti menangis kerana tahu anda berada dekat dengannya.
- Periksa sekeliling anak
Periksa sama ada anda perlu salinkan lampinnya atau pun tidak? Semasa
menukar lampin tersebut, periksa juga kulit bayi anda untuk melihat
adakah kulitnya ada ruam lampin ataupun tidak? Ruam lampin lazimnya
membuatkan anak rasa tidak selesa terutamanya ketika basah lebih-lebih
apabila terkena air kencingnya.
- Haus
Lihat jam, sekiranya sudah tiba masa untuk anak minum, berikan dia susu kerana dia mungkin haus.
- Periksa suhu badan anak
Sekiranya anak sejuk, selimutkanlah dia dan jika dia panas, tukarkan pakaiannya kepada yang lebih nipis agar anak lebih selesa.
- Bawa anak berjalan-jalan
Ramai bayi akan berhenti menangis jika dibawa berjalan-jalan atau
paling tidak pun mendodoikannya. Cubalah lakukan cara ini. Mudah-mudahan
anak anda akan rasa lebih tenang dan berhenti menangis.
- Gunakan bunyi-bunyian
Anda tentu tahu bahawa pada trimester ketiga kehamilan, bayi boleh
sudah boleh mendengar apa-apa sahaja yang berlaku di luar kandungan
ibunya. Oleh yang demikian, cubalah memainkan bunyi-bunyian yang anda
rasa boleh memenangkan bayi seperti bunyi kipas angin, bunyi mencari
frekuensi radio atau sebagainya.
- Jangan goncang bayi anda
Tidak dinafikan bahawa ada di kalangan ibu bapa rasa tertekan setiap
kali anak mereka menangis. Akibatnya mereka akan menggoncang-goncang
bayi tersebut dengan harapan dia akan berhenti menangis. Ketahuilah
bahawa tindakan tersebut sangat bahaya kerana boleh mencederakan.
Goncangan yang kuat boleh menyebabkan kerosakan pada otak bayi,
kecederaan tulang belakang dan kematian.
- Bawa anak ke tempat lain
Anda tentu tidak terfikir yang anak anda menangis ialah kerana bosan.
Bosan dengan persekitarannya. Oleh itu, bawalah anda bersiar-siar
melihat kawasan sekitar yang lebih berwarna-warni dan menyegarkan.
- Periksa keadaannya
Jika anak anda menangis seperti berada dalam kesakitan, perhatikan pada
tubuhnya, mungkin dia digigit semut atau serangga lain. Mungkin juga
anak anda menangis kerana kolik. Bayi yang mengalami kolik lazimnya akan
menangis dengan kuat untuk satu jangka masa yang panjang, mukanya akan
berubah menjadi kemerah-merahan, perutnya kelihatan tegang, menangis
sambil menarik-narik kaki, dan mengepalkan tangannya. Jika berhadapan
dengan masalah ini, anda perlulah membantu meringankan kesakitan anak
dengan mendukung dan mendodoinya secara perlahan-lahan. Pada masa yang
sama, usaplah punggung dan perutnya secara lembut. Sekiranya tangisan
berterusan, bawalah anak berjumpa doktor kerana mungkin ada masalah
lain.
sumber: Pa&Ma
No comments:
Post a Comment