Hampir semua ibu yang baru
menyusukan bayi akan melalui satu tempoh masa di mana mereka meragui sama ada
bekalan susu mereka mencukupi atau tidak. Apabila ibu-ibu ditanya apa sebabnya
mereka tidak menyusukan anak atau hanya memberi susu badan bagi jangka masa
yang pendek, mereka memberikan sebab utama sebagai, "Saya fikirkan bekalan
susu saya tidak mencukupi". Sebenarnya, menurut sebilangan besar pakar,
jarang berlaku situasi di mana ibu tidak mempunyai susu yang mencukupi.
Kebanyakan wanita merasakan bekalan susu mereka adalah kurang walaupun
sebenarnya ianya tidak. Kekurangan mungkin ada jika ibu tidak lagi mengalami
refleks susu terkeluar dengan tiba-tiba atau tidak lagi ada perasaan buah dada
penuh atau susu tidak lagi bocor dari puting.
Sebenarnya, semua tanda-tanda ini adalah tanda-tanda biasa yang menunjukkan
bahawa badan anda sudahpun menyesuaikan diri dengan keperluan penyusuan bayi
anda. Juga, bayi yang sedang membesar akan memerlukan lebih banyak susu, dan,
oleh itu, memang merupakan perkara biasa jika anda meragui sama ada bekalan
susu anda memadai. Sesetengah bayi pula lebih cepat dan efisien dalam penyusuan
dan memerlukan sedikit masa sahaja untuk habis menyusu, dan ini juga boleh
menyebabkan anda bimbang yang bekalan susu anda tidak mencukupi.
Mungkin ada masa-masanya sesetengah ibu tidak menghasilkan susu yang ke tahap
yang maksimum, tetapi, sekiranya mereka betul-betul memahami proses penyusuan,
itu akan membantu mereka mengatasi masalah ini. Hanya kira-kira 2% ibu sahaja, atas sebab-sebab fizikal, yang
tidak boleh menghasilkan susu secukupnya.
Apakah
puncanya?
Bagi kebanyakan wanita, masalah
sebenarnya ialah penghantaran, bukan penghasilan. Mereka menghasilkan susu yang
banyak tetapi disebabkan bayi mereka tidak dapat melekap dengan baik dan tidak
menyusu dengan efektif, bayi tidak memperolehi susu yang secukupnya.
Buah dada dicipta untuk menghasilkan susu bagi memenuhi keperluan bayi anda.
Lebih banyak bayi anda menyusu, lebih banyak susu yang anda akan hasilkan.
Sekiranya bekalan susu anda menurun pada satu-satu masa, beberapa perkara akan
dapat dikesan, iaitu, anda akan:
- mengalami puting yang pedih dan
mengalami kesakitan semasa menyusukan ; atau,
- mempunyai bayi yang mengantuk
dan perlu dirangsang untuk menyusu;
- bayi anda kerap menggunakan
puting, dan ini akan mengurangkan jumlah masa dia menyusu; atau
- terlalu terikat kepada rutin
menyusu empat jam sekali dan ini akan mengakibatkan pengurangan susu anda.
Anda harus sedar yang anda hanya perlu menyusukan bayi anda apabila dia
minta untuk menyusu, dan elok tidak mengikut rutin.
Bagi beberapa wanita, masalah biologi atau fizikal seperti ketidakseimbangan
hormon atau terdapat kecederaan buah dada atau pembedahan boleh menyebabkan
bekalan susu mereka berkurangan. Walau bagaimanapun, oleh sebab penghasilan
susu merupakan satu perlakuan yang penting, kebanyakan ibu yang mempunyai
keadaan seperti ini mendapati mereka masih boleh menghasilkan susu yang cukup
untuk menyusukan bayi mereka.
Apakah
yang perlu saya lakukan?
Pertama, jangan risau sangat tentang
bekalan susu anda. Adalah perkara mudah bagi anda mengetahui sama ada bayi anda
ada mendapat jumlah susu yang secukupnya atau tidak.
Penambahan berat badan adalah cara terbaik untuk menentukan sama ada bayi anda
mendapat susu yang secukupnya. Bayi baru lahir selalunya mengalami penurunan
berat kelahiran mereka antara lima hingga 10 peratus semasa beberapa hari
pertama, tetapi selepas itu, bayi anda
sepatutnya mula menambah berat badannya. Jika bayi ditimbang semula semasa
berusia antara seminggu hingga 10 hari, anda akan dapati bahawa dia sudah mula
membesar dan bertambah berat badan.
Jika anda menjawab ya bagi soalan-soalan berikut, ini bermakna bayi anda sudah
mendapat susu badan yang secukupnya, justeru, anda menghasilkan susu yang
mencukupi.
- Adakah dia kencing lima hingga
lapan kali sehari?
- Adakah dia kelihatan sihat dan
aktif?
- Adakah najisnya berwarna kuning
mustard? Najis bayi yang menyusu badan akan bertukar dari warna hijau
pekat atau hitam pekat yang dikatakan mekonium, kepada warna kuning
mustard pada hari kelima selepas kelahiran.
Jika anda merasakan yang anda tidak
menghasilkan susu secukupnya seperti yang anda (dan bayi) mahukan, ajarkan bayi
anda cara melekap seberapa baik yang boleh. Nasihat khusus dari kaunselor
penyusuan boleh anda dapatkan. Mintalah pakar ginekologi, guru antenatal atau
doktor keluarga anda untuk mencadangkan kaunselor atau anda juga boleh merujuk
sumber direktori organisasi penyusuan kami untuk nasihat.
Untuk meningkatkan bekalan susu anda:
- Biarkan bayi anda menyusu
seberapa kerap yang dia mahu, dan berapa lama yang dia mahu, dan berikan
kedua-dua buah dada anda setiap kali anda menyusukan.
- Berikan dia hanya susu badan
sahaja dan elakkan daripada menggunakan puting sebab ini akan mengurangkan
masa dia menyusu.
- Jangan cari jalan mudah dengan mengisi
penuh dengan susu formula (ini dikatakan "melengkapkan").
Bekalan susu anda akan selaras apabila badan anda menyesuaikan diri dengan
permintaan bayi anda. Jika anda mengenyangkan dia dengan susu formula,
bayi anda tidak akan membuat permintaan susu yang banyak dan bekalan susu
anda akan menurun.
- Dalam masa anda mencuba
memperbaiki cara pelekapan bayi anda, anda juga boleh cuba memerah susu
anda selepas setiap penyusuan. Memerah keluar baki susu seberapa yang
boleh akan membantu merangsang bekalan susu anda. Jika anda menyimpan susu
ini dalam peti ais atau penyejuk beku, anda boleh menggunakan susu badan
anda sendiri untuk memberi susu tambahan kepada bayi anda pada masa dia
berasa amat lapar, mungkin pada waktu petang.
- Sesetengah herba (seperti
halba) dikatakan boleh menambahkan bekalan susu ibu - ia dikenali sebagai galactagogues,
atau perangsang penghasilan susu. Tetapi, tidak terdapat bukti dari
mana-mana kajian untuk menyokong penggunaannya. Begitu juga, betik muda
dan sup ikan tidak pernah dibuktikan secara saintifik dapat menambah
bekalan susu, namun begitu, generasi tua dan pengasuh pantang tradisional
Cina (pui yuet) menaruh penuh kepercayaan kepadanya. Anda harus
maklum bahawa kebanyakan ahli farmasi dan farmakologi akan menasihatkan
anda supaya tidak menggunakan ubatan herba semasa kehamilan dan penyusuan.
Satu kumpulan ubat yang dinamakan antagonis dopamin menyebabkan kesan sampingan
iaitu meningkatkan tahap prolaktin dalam darah, iaitu hormon yang berfungsi
mencetuskan penghasilan susu dan mengekalkannya pada hari-hari awal. Walau
bagaimanapun, kebanyakan ubat ini juga mempunyai kesan sampingan, yang
berpotensi untuk menimbulkan masalah lain. Domperidone terkecuali dari ini, dan
ianya boleh didapati melalui preskripsi. Kadang-kala, pakar penyusuan
mencadangkan ubat ini untuk ibu-ibu jika cara lain untuk meningkatkan bekalan
susu tidak menunjukkan kesan yang baik. Walau bagaimanapun, Domperidone bukan
diluluskan untuk digunakan untuk tujuan ini dan tidak dinasihatkan sebagai
rawatan dalam semua kes yang mana bekalan susu ibu dididapati rendah.
Berbincanglah dengan kaunselor penyusuan atau doktor jika anda mahu memperolehi
maklumat lanjut.
Dalam beberapa hari pertama selepas kelahiran, adalah baik jika anda
mengejutkan bayi jika dia mengantuk dan menggalakkan dia untuk menyusu dengan
lebih kerap. Ini akan merangsang buah dada anda untuk menghasilkan lebih banyak
susu. Jika bayi anda sukar untuk digerakkan atau tidak dapat menyusu dengan
baik, cara untuk mengatasi ini ialah dengan memerah keluar susu anda dan
menyuap bayi melalui cara lain (cawan, sudu atau botol); keperluan menyusu bayi
dipenuhi dan pada masa yang sama ia akan merangsang peningkatan bekalan susu
anda.
Walau bagaimanapun, pada hari-hari yang berikutnya, bayi yang penuh terma
adalah lebih terjaga dan aktif. Jika bayi anda masih perlu dirangsang untuk
menyusu, ini bermakna sama ada dia tidak dapat melekap dengan betul atau dia
kurang sihat dan dengan itu, anda sepatutnya menghubungi doktor.
Sesetengah gangguan kesihatan juga boleh menyebabkan bekalan susu yang rendah:
- tahap tiroid yang rendah (dan
kadang-kala tinggi);
- kehilangan jumlah darah yang
banyak semasa bersalin atau selepas itu (bekalan susu anda akan terjejas
sehingga anda sembuh);
- komplikasi disebabkan
sebahagian plasenta masih berada dalam rahim; ini akan mengganggu
penghasilan susu sehingga ia lepas keluar atau ditarik keluar;
- ubatan (contohnya kombinasi pil pencegah kehamilan dan
ubat selesema dengan dekongestan seperti pseudophedrine) mungkin boleh
mengurangkan bekalan susu.
Adakah
ini menjejaskan bayi saya?
Ya, jika bayi anda sentiasa
memerlukan susu lebih daripada apa yang diperolehinya, dia akan gagal untuk
berkembang dengan sempurna. Hubungi doktor anda dan buatlah temu janji dengan
segera jika berat badan bayi anda tidak bertambah atau didapati menurun.
Selalunya memperbaiki teknik penyusuan ibu boleh menyelesaikan masalah ini,
tetapi dalam sesetengah kes, penambahan berat badan yang perlahan adalah
petanda masalah kesihatan.
Masihkah
saya boleh menyusu?
Ya, terutama sekali jika anda sedang
mengalami pengurangan bekalan susu buat sementara waktu. Sebenarnya, memastikan penyusuan yang efektif adalah cara yang paling
baik untuk meningkatkan penghasilan susu.
No comments:
Post a Comment